Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat perlu menilai manifesto gabungan itu yang bertemakan Tawaran PN Best kerana memberikan tawaran inklusif untuk tempoh lima tahun akan datang.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, rakyat perlu menilai dan membezakan menifesto PN dengan gabungan politik lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, perkara itu penting untuk mengetahui perancangan mereka terutama PN kerana semua pihak perlu sedar bukan setakat menang PRU15 dan kemudian membentuk kerajaan.
“Rakyat tidak ada pilihan lain kerana yang terbaik adalah PN, mahu mewujudkan kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin. Prihatin yang tahu tentang masalah rakyat.
“Kerajaan yang mesti dibentuk pada 19 November ini mesti kerajaan yang bersih dairpada segala bentuk salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kita tahu (sebelum ini) berlaku dalam negara kita (rasuah sehingga) berbilion Ringgit.
“Sehingga Malaysia terkenal antara negara paling besar rasuahnya dan ini berlaku dalam negara kita,” katanya berucap dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana, Pasir Gudang, malam ini.
Muhyiddin berkata, pengundi perlu membaca manifesto PN untuk mengetahui perancangan dan tawaran penting yang diberikan kepada rakyat.
Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh berkata, pengundi boleh mendapatkan manifesto itu termasuk dengan memuat turunya menerusi laman web untuk meneliti perancangan PN dalam membangunkan negara.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, ekonomi dunia diramalkan terjejak teruk pada tahun hadapan dan Malaysia tidak terkecuali.
Katanya, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan mampu menguruskan kemelesetan ekonomi tersebut dengan perancangan terbaik.
Muhyiddin secara sinis mempersoalkan, sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika dipilih menjadi Perdana Menteri akan memikir dan menyelesaikan masalah tersebut.
“Dia tidak akan memikirkan masalah orang Pasir Gudang, Muar, Pagoh dan orang Felda, dia mana peduli,” dakwa beliau dan menyatakan Ahmad Zahid hanya memikirkan tentang kes mahkamah dihadapinya yang masih belum selesai.
Menurutnya, jika dahulu rakyat tidak mempunyai pilihan hingga terpaksa memilih UMNO dan BN tetapi sekarang keadaan sudah berubah dan mereka perlu menolak parti yang ‘mencuri’ serta melakukan rompakan.
Tambah beliau, orang Melayu perlu memilih Bersatu dan Pas yang merupakan dua parti Melayu serta Islam terbesar dalam gabungan PN.
Leave a Reply