Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEBELUM berlangsung Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), banyak kerusi Parlimen di Terengganu kecuali Marang dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, dominasi BN di kerusi Parlimen di negeri ini, khususnya Kuala Terengganu mula goyah ketika berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 17 Januari 2009.
Dalam pertembungan tiga penjuru itu, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut.
Turut bertanding dalam PRK tersebut ialah calon Bebas, Azharuddin Mamat.
Mohd. Abdul Wahid yang memperoleh 32,8883 undi dan menang dengan majoriti 2,631 undi berjaya menewaskan Wan Ahmad Farid yang mendapat 30,252 undi manakala Azharuddin pula hanya mendapat 193 undi.
Pas kemudian terus mengukuhkan penguasaannya dalam PRU13 apabila calonnya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (ketika itu Pakatan Rakyat) menang dengan majoriti 10,785 undi.
Beliau yang mendapat 45,828 undi telah menewaskan calon BN, Datuk Mohd. Zubir Embong (35,043 undi) dan calon Bebas, Maimun Yusof (182 undi).
Sementara dalam PRU15, 2018 pula Pas berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu setelah calonya, Datuk Ahmad Amjad Muhamad Hashim menang dengan majoriti lebih besar, iaitu 14,773 undi.
Beliau yang mendapat 42,988 undi menewaskan calon BN, Wan Nawawi Wan Ismail yang mendapat 28,215 undi dan Raja Kamarul Bahrin Shah (PH-PKR) mendapat 15,380 undi.
Memandangkan terdapat tiga nama calon ‘favourite’ dalam PRU15 kali ini, kini timbul tanda tanya sipakah calon pilihan pengundi yang bakal memenangi kerusi parlimen ini?
Bagi penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu, mereka berpendapat persaingannya pada kali adalah sengit, namun Perikatan Nasional (PN) dijangka masih berpeluang mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU15, pada 19 November ini.
Sekalipun terpaksa berhadapan dengan persaingan empat penjuru, namun banyak pihak berpendapat calon PN diwakili parti Pas, Ahmad Amjad tidak menghadapi masalah untuk memenangi kerusi tersebut sepertimana dilakukan pada PRU14, tahun 2018 lalu.
Ini kerana, populariti dan penerimaan para pengundi di Kuala Terengganu terhadap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu semakin menggalakan.
Malah, para pengalisis dan pemerhati politik di Terengganu mengatakan antara faktor yang memberi kelebihan kepada Ahmad Amjad apabila beliau sentiasa rapat dan cakna rakyat sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
Walaupun begitu, Amjad Amjad dijangka akan menghadapi persaingan sengit daripada sahabat karibnya sendiri, iaitu Mohd. Zubir yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini Mohd. Zubir pernah bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menjadi Menteri Besar.
Selain Mohd. Zubir dua lagi calon yang bertanding di kerusi ini ialah Pengerusi Amanah Negeri Terengganu, Raja Kamarul Bahrin mewakili Pakatan Harapan (PH-Amanah) dan Mohamad Abu Bakar Muda (Pejuang).
Leave a Reply