BERSAING dengan tiga calon lelaki di Parlimen Temerloh bukan halangan buat calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu, Salamiah Mohd Noor, 58, untuk meraih keyakinan pengundi.
Sebaliknya anak jati Temerloh itu berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat khususnya pengundi di Parlimen tersebut.
“Syukur setakat hari ini, saya terima respons positif daripada pelbagai latar belakang masyarakat.
“Sebenarnya masing-masing teruja dan dengan gelombang PN setakat ini, sebenarnya jadi calon wanita ada kelebihan, mereka nampak lebih yakin dengan kerana sifat wanita lebih prihatin dan berkredibiliti, telus,” katanya di Temerloh.
Pada PRU-15 ini, Salamiah berdepan saingan empat penjuru ditentang calon Pakatan Harapan, Mohd. Hasbie Muda, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Aminuddin Yahaya dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Salamiah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang berharap pengundi di Parlimen Temerloh memberikan peluang kepadanya untuk mewakili rakyat di situ.
Beliau berkata, potensi perusahaan ikan patin antara menjadi tumpuannya jika diberikan mandat dalam PRU15 ini.
Menurutnya, selain perusahaan ikan patin, bekas pendidik itu ingin memperkasakan usahawan wanita di parlimen Temerloh.
“Bila nak buat janji, kena selaras dengan manifesto PN, saya nampak sepanjang kempen, banyak wanita yang terlibat dalam perniagaan macam di Pekan Sehari, pasar malam jadi saya melihat peluang ini untuk memberikan ruang kepada wanita mengembangkan perniagaan menerusi manifesto PN, Dananita sebanyak RM20,000 iaitu tanpa faedah,” katanya.
Leave a Reply