CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus Parlimen Rembau melancarkan manifesto tambahan bagi mengukuhkan peluang gabungan parti itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Tawaran itu yang dikenali sebagai Rembau Maju Bersama meliputi enam agenda berkaitan wanita, pelancongan, pendidikan, belia, budaya dan komuniti.
Mohd. Nazree berkata, tawaran itu dibuat selepas beliau dan pasukan kempen parti itu turun padang menemui orang ramai sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu.
“Semasa turun padang orang ramai telah menyatakan pelbagai isu dan hasrat mereka yang memerlukan perhatian oleh kerajaan. Berikutan itu saya telah merangka manifesto tambahan ini khusus untuk Parlimen Rembau bagi memenuhi hasrat rakyat tersebut,” katanya, semalam lapor BeritaBersatu.
Menjelaskan lebih lanjut manifesto tambahan itu, Mohd. Nazree berkata, pihaknya bercadang mendirikan Pusat Pemerkasaan Wanita Rembau, Pusat Pelancongan Eko Rembau dan Pusat Pengembangan Pendidikan Komuniti Rembau.
Katanya, selain itu pihaknya merancang mendirikan Pusat Kreativiti Pemuda Rembau, Perkampungan Budaya Rembau serta Pusat Integrasi Khidmat dan Bantuan Komuniti Rembau.
Beliau menarik perhatian, kesemua agenda itu akan dilaksanakan secepat mungkin sekiranya PN berjaya meraih kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum, Sabtu ini.
“Kami berhasrat melaksanakan agenda ini secepat mungkin demi manfaat penduduk di Rembau. Ia tidak terlalu rumit malah munasabah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya memetik laporan Utusan Online.
Mohd. Nazree akan berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Rembau menentang Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awalludin (Parti Pejuang Tanahair) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).
Leave a Reply