Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
UMAT Islam disaran kembali mencontohi peribadi dan akhlak serta menghayati sirah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan mengharungi kehidupan dunia yang semakin mencabar ketika ini.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini akan menjadikan kehidupan umat Islam lebih sejahtera, bahagia dan tenang.
“Hari ini banyak masalah dan cabaran umat Islam di negeri kita, bukan sahaja berdepan soal pembangunan insaniah tetapi juga dalam bidang-bidang lain.
“Apa yang penting untuk kita kembali semula kepada sirah dan perjalanan yang ditunjukkan Rasullullah SAW supaya hidup kita lebih aman, sejahtera dalam keadaan perpaduan yang ditekankan Islam.
“Ini bagi menentukan umat Islam di negara kita dan juga di seluruh dunia berada dalam satu saf yang kuat dan kukuh, jadi contoh dan teladan kepada bangsa lain di dunia,” katanya.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Pagoh Selawat Malam Cinta Rasul di Kompleks Sukan Pagoh, pekan Pagoh, Muar, malam ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar Johor.
Muhyiddin berkata, umat Islam pada masa ini amat dituntut untuk menitikberatkan soal pembentukan akhlak dan budi pekerti.
Jelasnya, pendidikan di sekolah dan pembangunan akhlak serta sahsiah oleh keluarga terutama ibu bapa akan menjamin masa depan umat Islam yang lebih selamat.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan mereka yang sudah boleh mengundi supaya menunaikan tanggungjawab tersebut pada Sabtu ini.
Katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh, pilihan raya umum (PRU) akan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
Leave a Reply