CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia, dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mendiang Karupaiya mengembuskan nafas terakhir di Hospital Kulim, pukul 2.20 petang ini.
Pemergian mendiang disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Difahamkan mendiang dimasukkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sakit perut, namun setakat ini punca sebenar kematian masih belum diketahui.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Karupaiya menang bergaya dengan majoriti 8,813 undi.
Mendiang, yang merupakan ahli PKR memenangi kerusi itu pada PRU 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari Pas.
Pada PRU-15, kerusi P017 Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk Karupaiya selaku penyandang serta calon dari Pejuang, BN, PN, Warisan dan Bebas.
Leave a Reply