Anak jati Ampang, aktivis, peguam jadi taruhan PN

SUASANA hujan renyai tidak menghalang segelintir penduduk flat di Taman Cahaya, Ampang untuk turun beramah mesra dengan calon muka baru Sasha Lyna Abdul Latiff yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen berkenaan. 

Disebabkan kerja-kerja sebagai aktivis kemasyarakatan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu menjadikan sosok wanita itu amat dikenali dalam kalangan penduduk miskin bandar di Ampang. 

Mesra disapa Sasha, beliau dilihat tidak kekok melawat rumah-rumah penduduk dan berbual mengenai masalah dan isu setempat.

Sasha, anak jati Ampang membesar di Taman Watan menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Ampang. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, isteri dan ibu kepada empat orang anak itu sangat komited untuk meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan dan bantuan khidmat melalui parti politik.

Atas sebab itu, beliau memilih untuk terlibat dalam arena politik dengan harapan sasaran kelompok yang ingin dibantu lebih besar dan menyeluruh di Ampang. 

Bekerjaya sebagai peguam di firma guaman Tetuan Sasya Lyna & Partners, beliau akan bertembung sembilan penjuru antara penyandangnya Datuk Zuraida Kamaruddin dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang) dan Lai Wai Chong (Warisan). 

Selain itu, tiga calon bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Sasha juga merupakan pengasas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Bondafund yang memberi sumbangan kepada penduduk Lembah Klang sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dan banjir besar pada Disember tahun lalu. 

Beliau juga salah sorang peguam sukarelawan di Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur. 

Selaku anak jati Ampang, Sasha memberitahu beliau seringkali perasan satu perkara yang kemudiannya menjadi antara kebimbangan penduduk Ampang. 

Kata Sasha, kelompok warga emas tidak mempunyai pusat untuk melalukan aktiviti dan beriadah. 

Rata-rata warga emas yang ditemuinya di kawasan itu hanya duduk di dalam rumah menemani cucu-cucu ataupun tinggal bersendirian apabila anak-anak keluar bekerja. 

Bagi Sasha, rutin itu tidak sihat bagi psikologi dan kesihatan untuk warga emas. 

“Kita boleh tubuhkan satu pusat khidmat untuk bantu kumpulkan golongan ini supaya mereka boleh dapat hidup yang lebih berkualiti,” katanya memetik laporan MalaysiaNow. 

Mengulas lanjut, Sasha juga meletakkan fokus utamanya kepada golongan belia yang dianggap penting dalam lapisan masyarakat kawasan berkenaan. 

Katanya, sekiranya diberi mandat pada PRU-15 beliau akan membantu anak-anak muda di Ampang dalam mempersiapkan kemahiran kerja yang kemahiran sosial sebelum memasuki alam pekerjaan. 

Dengan itu, pusat khidmat setempat (one stop centre) yang komprehensif menyediakan kemahiran-kemahiran tertentu akan dilaksanakan untuk mencapai objektif berkenaan. 

“Kita nak jadikan tempat itu inklusif untuk semua orang. Kita akan adakan kelas-kelas kepada penduduk Ampang dari peringkat kanak-kanak atau orang tua.”

Tambahnya, beliau berbangga melihat pencapaian anak-anak muda di kawasan Ampang yang berjaya dan boleh bekerja tanpa perlu meninggalkan tempat sendiri. 

Khidmat guaman 

Selain itu, Sasha juga menawarkan khidmat guaman kepada golongan wanita yang mempunyai masalah perundangan terutamanya melibatkan isu rumah tangga, perceraian, nafkah dan hak jagaan anak. 

Menurut Sasha, beliau mendapati kesedaran tentang undang-undang penduduk di situ masih rendah selain kes-kes mahkamah syariah oleh penduduk yang tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan kebimbangan penduduk setempat terhadap kos sara hidup yang buruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu. 

Katanya, rata-rata pengundi yang ditemuinya mengadu tentang perkara itu dan berharap kerajaan yang benar-benar prihatin terhadap sosioekonomi rakyat. 

“Ramai yang terkesan. Ini termasuk juga mereka dalam golongan M40 dan T20. 

“Seperti biasa di Ampang, isu berkaitan dengan pembangunan, masalah penjaja dengan PBT dan infrastruktur. 

“Semua ini kita akan bantu dengan penguatkuasaan yang kita ada (sebagai ahli Palimen).” 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *