‘Ajak ahli keluarga, jiran undi PN’, pesan Muhyiddin kepada pengundi

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak pengundi khasnya anak-anak muda agar berpesan kepada ahli keluarga dan jiran mereka mengundi Perikatan Nasional (PN) pada 19 November ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika golongan muda yang dianggapnya sebagai ‘anak abah’ mahukan beliau kembali ke Putrajaya, mereka perlu beramai-ramai keluar mengundi dan memangkah calon-calon PN.

Kata Pengerusi PN itu, beliau berterima kasih kepada anak-anak muda yang mendoakan beliau di media sosial.

“Tapi ingat, kalau nak tengok abah kembali ke Putrajaya, pakat ramai-ramai undi Perikatan Nasional. Menangkan calon-calon PN di kawasan anda.

“Pesan kepada emak ayah abang adik kakak jiran dan kawan-kawan semua kali ini undi PN, keluar dan undilah awal-awal lagi,” katanya dalam klip video yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

Muhyiddin kemudiannya sekali lagi mengingatkan anak-anak muda akan janji untuk keluar mengundi pada 19 November dan memilih Perikatan Nasional.

“Lakukan apa yang betul (pada PRU-15). Gemakan suara anak muda. Ayuh semua! PN BEST” katanya.

Sementara itu, pada ruangan kapsyen hantaran itu, Muhyiddin turut mengajak anak-anak muda menularkan klip video pesanan beliau di akaun media sosial mereka.

“Abah ada pesanan untuk anak-anak Abah di media sosial. Sudilah tonton, like, repost dan share dengan kawan-kawan semua di Tik Tok, Instagram, Facebook, Whatsapp, Youtube, Twitter,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *