SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mendedahkan parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.
“Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.
“Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.
“Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.
“Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU-15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya pada sidang media ketika meninjau pusat mengundi di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi bahawa tujuan PN bertanding PRU-15 adalah membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.
“Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas, untuk berunding dengan Barisan Nasional bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.
“Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang terbabit PRU-15,” katanya lapor BH Online.
Lewat malam tadi dalam program Ceramah Perdana PRU-15 di Kampung Kubang Kiat, Takiyuddin berkata, PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pasca PRU-15.
Takiyuddin berkata beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.
“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima PH walaupun perlu gabungan.
“Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.
“Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” katanya.
Leave a Reply