Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERIKATAN Nasional (PN) akan berjaya menubuhkan kerajaan baharu di peringkat Persekutuan sekiranya 90 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Justeru Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang ramai khususnya anak muda keluar mengundi beramai-ramai pada 19 November ini dan memastikan memilih calon-calon gabungan tersebut.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu mengingatkan pengundi supaya tidak salah memilih calon kerana akan memudaratkan negara dan mereka perlu menolak calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.
“BN sudah banyak masalah, Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi jadi ketua kluster mahkamah, dia ada banyak kes, ada 87 pertuduhan, jadi kita kena ingat betul-betul…tapi dia nak jadi Perdana Menteri.
“Dia fikir kalau dia jadi Perdana Menteri mungkin segala pertuduhan yang dihadapinya akan digugurkan kerana akan menggunakan pengaruh dia yang cukup kuat (jika menjadi Perdana Menteri), jadi dia fikir begitu.
“Tapi dia kata pula sekarang, kalau BN tidak dapat jumlah kerusi yang besar untuk bentuk kerajaan, 112 kerusi, UMNO (kini) dah rasa tak boleh menang, jadi Zahid kata sanggup kerjasama dengan mana-mana parti (untuk bentuk kerajaan),” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap di Gerai Makan Taman Sri Stulang di sini pada Selasa.
Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid mahu bekersama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya BN tidak mendapat jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan tidak mahu bergaung dengan PN.
Tegas beliau, maklumat berkenaan perkara itu diperolehnya daripada sumber yang sahih dan Ahmad Zahid serta Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah merancangnya dan bukan cerita yang direka-rekanya.
Calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu mendakwa, kerjasama tersebut bagi membolehkan Anwar menggugurkan kes mahkamah Ahmad Zahid.
Leave a Reply