Maritim Malaysia Pulau Pinang lancar operasi carilamat dua kru bot dipercayai hilang

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (cari) bagi menjejaki dua kru bot yang mana bot mereka dijumpai hanyut tanpa kru berhampiran perairan sangkar ikan Batu Maung, Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan dari nelayan tempatan berhubung penemuan bot hanyut tanpa kru berhampiran sangkar ikan itu pukul 8.20 pagi.

Sehubungan itu katanya, Bot KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan bot tersebut.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, bot dengan nombor pendaftaran PPS 7216 dijumpai berada di salah sebuah sangkar ikan Batu Maung dan dibawa oleh nelayan berhampiran bagi menggelakkan bot terus hanyut ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dinaiki seorang lelaki, M. Gunalan, 46, dari Bukit Tambun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai di atas bot.

Sehubungan itu katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah dimaklumkan berhubug penemuan bot tanpa kru tersebut dan operasi carilamat telah diaktifkan pukul 9 pagi.

“Hasil maklumat yang diterima dari pihak polis Bukit Tambun, isteri mangsa turut membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya yang keluar ke laut bersama rakannnya, V. Muraley, 53, pukul 5 pagi tadi,” katanya.

Tambah beliau, isteri mangsa membuat laporan selepas mendapat maklumat daripada komuniti nelayan yang mana bot dinaiki suaminya dijumpai hanyut tanpa kru.

“Bot itu kemudiannya ditunda oleh bot KILAT 26 ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan apa jua aktiviti semasa berada di laut.

“Orang awam juga diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *