Saifuddin Abdullah

Kestabilan kerajaan bukan bergantung kepada jumlah kerusi Parlimen

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan yang stabil mampu dibentuk oleh kerajaan minoriti, sekiranya rakyat dan negara menjadi keutamaannya.

Menurut beliau, itu yang berlaku di banyak negara maju di dunia yang turut mengamalkan politik demokrat dan moderat seperti Malaysia.

Tegas beliau, soal meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bukan satu isu yang membelenggu kerana akhirnya ia akan dibentang dan didebatkan sebelum diluluskan oleh Parlimen, tidak bergantung kepada jumlah kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti.

“Misalnya di negara-negara Nordik, asal saja ada satu kumpulan yang terbesar, walaupun dia cuma 30 atau 40 peratus daripada Dewan, mereka dibenarkan membentuk kerajaan.

“Kita terlalu ‘rigid’ (kaku) melihat soal-soal ini, pertama dari sudut parti dan yang kedua dari sudut berapa orang (perwakilan dari sesebuah parti) dalam Parlimen.

“Kita harus melewati pemikiran yang sebegitu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Beliau faham, ada tafsiran yang pelbagai terhadap peruntukan berkenaan perkara itu dalam Perlembagaan, tapi pokok pangkalnya, kata beliau, kita harus matang.

Begitupun, Saifuddin melihat memorandum persefahaman yang disepakati kerajaan dengan pembangkang dalam penggal yang lalu memperlihatkan kita sebenarnya sudah memulakan proses ke arah kemajuan politik yang dimaksudkan itu.

“Walaupun ada lah di sana dan di sini liku-liku politik yang ada masanya terpaksa dihadapi, tapi kita harus yakin,” katanya, lapor Astro Awani.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *