SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin menjelaskan kenyataan beliau mengenai penggabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diambil di luar konteks.
Malah tegas beliau, tajuk dalam laporan media itu juga adalah mengelirukan pengundi.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.
“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.
“Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media hari ini memetik Takiyuddin sebagai berkata, Pas akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.
“Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.
“Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.
“Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.
“Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply