Buktikan PN dapat manfaat daripada kontrak kerajaan, Muhyiddin cabar Anwar

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dakwaannya bahawa PN adalah gabungan paling kaya.

“Apa bukti dia ada?” soalnya ketika berkempen di sini.

Muhyiddin berkata, beliau tiada masalah menunjukkan akaun kewangan PN kepada Anwar, tetapi tertanya-tanya jika pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu lakukan perkara sama.

“Bolehkah dia lakukannya?” tanya Muhyiddin lagi.

Terdahulu, Anwar mendakwa PN merupakan gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat projek berbilion ringgit ketika pandemik Covid-19.

Ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa PN dan Barisan Nasional (BN) merancang bekerjasama, Muhyiddin berkata: “Apa bukti dia ada?

“Kami sedang bertanding menentang Umno dalam pilihan raya kali ini.

“Anwar dan Rafizi Ramli suka buat dakwaan tak berasas,” katanya merujuk timbalan presiden PKR itu, lapor Free Malaysia Today.

Bekas perdana menteri itu berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah membuat penjelasan berhubung perkara itu hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kenyataan berhubung kemungkinan BN dan PN membentuk kerajaan persekutuan diambil di luar konteks.

Penjelasannya menyusul kenyataan Muhyiddin yang berkata, PN tidak memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan baharu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *