Oleh RIZQI ZABIDI
SEBANYAK 6,914 naskhah al-Quran tanpa kelulusan serta bahan penerbitan yang dikenakan perintah larangan dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari sebuah premis di Pendang, Kedah, Ahad lalu.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, rampasan tersebut dibuat menerusi satu serbuan dalam Ops Naskhah yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang disyaki merupakan pengedar bahan tersebut telah diambil keterangan.
“Rampasan melibatkan sebanyak 2,874 unit al-Quran, 4,024 bahan al-Quran dan 16 unit bahan penerbitan berbentuk buku yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM563,370.
“Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas al-Quran yang tidak memiliki kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) serta buku yang dikenakan perintah larangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Difahamkan premis tersebut dijadikan sebagai tempat jualan serta stor penyimpanan al-Quran serta buku tersebut.
Tambahnya, kebanyakan al-Quran dan buku-buku yang dirampas itu datangnya dari Indonesia dengan harga jualan mencecah RM500 senaskhah.
Selain itu katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati lelaki terbabit menyimpan atau menyembunyikan bahan-bahan bacaan tersebut dalam kotak.
“Suspek dipercayai hanya akan mengeluarkan bahan bacaan tersebut apabila hendak menjualnya,” katanya.
Difahamkan rampasan dilakukan itu merupakan yang terbesar dilakukan pada tahun ini.
“Ketika ini kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 8(1) dan 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 serta Seksyen 7(1) dan 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.
Leave a Reply