PRU-15:Buka lembaran baharu undi PN untuk sebuah kerajaan yang bersih, stabil

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera yang akan menjadi kumpulan pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok, diseru supaya membuat pilihan yang betul dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tas Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka perlu mengundi calon-calon PN untuk memastikan sebuah kerajaan baharu selepas PRU-15 yang lebih baik dan benar-benar berpaksikan rakyat.

“Pada pengundi-pengundi awal yang akan menjalankan tanggungjawab pada hari esok, saya mohon kerjasama supaya tunaikanlah tanggungjawab anda semua dengan sebaik-baiknya kerana ini adalah hak anda dalam sistem demokrasi untuk memilih mana-mana parti atau pun calon yang boleh bertanding di pilihan raya ini.

“Dan pastinya harapan dan doa saya supaya saudara semua dan anda semua akan mengundi kepada calon-calon Perikatan Nasional. Undilah Perikatan Nasional.

“Undi Perikatan Nasional untuk memastikan sebuah kerajaan yang prihatin, tidak putus putus mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, menyelesaikan masalah dan merangka wawasan maju ke depan.

“Sebuah kerajaan yang BERSIH didasari nilai integriti dan menolak rasuah, menampal ketirisan agar hasil kekayaaan negara kekal di tangan rakyat. Duit rakyat diurus dengan amanah untuk menjana pembangunan dan merancakkan semula ekonomi,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dengan keharmonian politik yang jitu, menjaga kepentingan semua kaum dan melindungi kedaulatan negara.

“Jika ini yang anda mahu, undilah Perikatan Nasional. Pangkah Perikatan Nasional di kertas undi.

“Undilah dengan yakin dan percaya bahawa undi anda akan menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.

“Jangan termakan janji saudagar mimpi yang belum terbukti atau mereka yang tidak mementingkan integriti,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu Muhyiddin mengajak rakyat terutama pengundi membuka lembaran baharu dengan mengundi gabungan itu pada PRU-15.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengundi perlu berani melakukan perubahan tersebut untuk sebuah kerajaan yang baharu selepas PRU-15.

“Lakukan tanggungjawab anda. Kita buka lembaran baharu, bersama-sama kita menggembleng semangat kesatuan, untuk Malaysia yang lebih aman dan makmur.

“‘Do what is right. Vote’ Perikatan Nasional. Undilah Perikatan Nasional. Kuasa ada di tangan anda. Pilih dengan yakin dan berani,” katanya lagi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *