TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, perlu memilih pemimpin yang mempunyai akhlak baik dan terpuji untuk mentadbir, supaya negara tidak rosak.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dalam memilih pelbagai peringkat pemimpin, rakyat pastinya mahukan individu yang bersih serta amanah untuk memimpin mereka.
“Bila mana kita nak menilai seorang pemimpin mesti ada nilaian-nilaian tertentu. Kalau nak jadi ketua kampung pun dinilai. Nak jadi tok penghulu dan pegawai kerajaan pun dinilai… nak jadi pegawai daerah juga ada nilaiannya.
“Apa lagi kalau ianya untuk menjadi seorang pemimpin utama negara… sebagai Perdana Menteri perlu dinilai terutama dari segi akhlak dan amanah supaya negara tidak rosak dan terjerumus ke dalam lubang yang paling dalam,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada Jelajah PN BEST di Parlimen Tambun semalam.
Kata Muhyiddin, rakyat sudah pasti tidak mahu sejarah hitam pentadbiran lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) dan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), berulang semula.
“Sejarah hitam negara telah berlaku dan kita pastinya tidak mahu perkara itu berulang. Jangan salah buat pilihan mengundi UMNO, BN dan PH.
“Tetapi sekarang ini sudah tertubuh Perikatan Nasional… bermakna sudah ada satu pilihan baru. Yang pastinya kalau dinilai dalam tempoh yang begitu singkat Perikatan Nasional adalah satu pilihan yang terbaik.
“Kepimpinan Perikatan Nasional sentiasa prihatin kepada permasalahan rakyat selain nilai akhlak pemimpinnya lebih bersih daripada BN dan PH. Tidak ada skandal atau rasuah yang melibatkan pemimpin Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata dalam kalangan pemimpin BN wujud mereka yang tidak amanah dan terlibat menerima rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa selama memerintah Malaysia.
Begitu juga katanya dalam kalangan pemimpin PH yang tidak bermoral dan terlibat dengan isu akhlak sehingga dituduh di mahkamah dan dihukum penjara.
“Adakah rakyat mahukan pemimpin rasuah dan tidak berakhlak memimpin negara. Jika ini berlaku negara akan rosak lebih teruk,” katanya.
Muhyiddin berkata namun, pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini tidak terlibat dengan kes-kes mahkamah sebaliknya, telah mengurus negara, terutama menangani Covid-19 iaitu wabak yang tidak pernah berlaku dan diketahui sebelum ini, dengan cara terbaik.
Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.
Leave a Reply