PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghormati perkara-perkara yang menjadi tunjang negara.
Perkara itu ialah, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.
Kata Presiden Bersatu itu, pengalaman 22 bulan parti tersebut dalam PH cukup menekan dan menyeksakan.
Sebagai contoh dari aspek ekonomi katanya, ada beberapa ketika Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng langsung tidak mahu menghormati agensi seperti TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan EKUINAS (Ekuiti Nasional Berhad).
Menurutnya, beberapa peruntukan untuk agensi yang membantu orang Melayu berniaga diambil balik malah dihentikan dan tidak diwujudkan agensi itu.
“Hanya kemudian selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional, kami hidupkan semula TERAJU untuk menjamin kelangsungan masyarakat Bumiputra di negara kita.
“Selain itu, Lim Guang Eng juga buat keputusan supaya peruntukan RM2 bilion EKUINAS diambil semula Kementerian Kewangan.
“Ini menunjukkan bagaimana PH tidak menghormati agensi bumiputra diwujudkan kerajaan dan langkah-langkah diambil langsung tidak memikirkan nasib Bumiputra dalam pembangunan ekonomi negara kita.
“Ini dua contoh tindakan yang diambil yang saya dapati bercanggah dengan dasar negara kita khusunya pembangunan usahawan bumiputra,” katanya malam tadi.
Beliau berkata demikian semasa program jelajah PN BEST di Tambun.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau yang ketika itu Menteri Dalam Negeri turut didesak menghapuskan Akta Hasutan yang bertujuan melindungi institusi dan peruntukan dalam Perlembagaan negara.
Katanya, Akta Hasutan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu yang mana PH menuntut agar akta tersebut dihapuskan.
Sehubungan itu katanya, beliau mewujudkan satu jawatankuasa di peringkat kementerian yang meneliti tuntutan berkenaan dan ia kemudiannya memutuskan perkara itu perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum boleh dipinda.
“Tapi bagi saya, ia desakan yang tidak wajar dan munasabah untuk menghapuskan akta berkenaan kerana akhirnya kedudukan raja akan terdedah dengan perbuatan penghinaan oleh sesiapapun.
“Walaupun ia tuntutan dari DAP, namun Anwar ada dalam PH dan kalau beliau memperjuangkan dan mendukung Perlembagaan negara kita, seharusnya tindakan (desakan hapuskan akta hasutan) tidak diambil, katanya.
Muhyiddin berkata, itu antara contoh kerosakan dilakukan PH dalam tempoh 22 bulan dan jika pentadbiran PH diteruskan mungkin akan membawa musibah kepada negara.
“Sebab tu saya buat keputusan Bersatu dan Majlis Tertinggi Bersatu dan pandangan Tun Mahathir agar parti itu meninggalkan PH.
“Ya kita tinggalkan dan orang kata kita khianat tetapi saya nak nyatakan bahawa kita tidak sanggup untuk mengkhianati bangsa, agama dan negara.
“Kalau PH terus berkuasa di Putrajaya, akan berlaku banyak kerosakan dan kemusnahan pada sistem negara yang ada pada hari ini,” tambahnya.
Leave a Reply