DALAM banyak-banyak kawasan Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 kali ini, kerusi Sungai Buloh antara yang menarik perhatian Tok Chey untuk dibincangkan.

Pertamanya ialah apabila Khairy Jamaluddin (KJ) terpaksa meninggalkan kerusi selamat di Rembau untuk bertanding di kubu kuat PKR yang mana pada PRU yang lalu, Sivarasa Rasiah memenangi kerusi itu dengan majoriti sebanyak 26, 634 undi.

Sivarasa memperoleh 43, 631 undi menewaskan calon BN, Prakash Rao (16,681) dan Ustazah Nuridah daripada Pas (16,997). Manakala Zainurrizaman Mohamad yang mewakili PSM hilang wang deposit.

Pada PRU15 ini, jumlah pengundi di Parlimen itu meningkat dari 90, 707 kepada 158,090 pengundi dan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon Bebas.

KJ perlu berdepan R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

Walaupun ia adalah kerusi yang mencabar, KJ sendiri mengakui dia terpaksa ke Sungai Buloh kerana tidak diberikan kerusi kali ini setelah kerusi tradisinya di Rembau telah diberikan kepada Timbalan Presiden, Mohamad Hasan atau Tok Mat untuk bertanding.

Di sebalik dakwaan bahawa terdapat cubaan untuk menguburkan karier politik KJ di Sungai Buloh, Menteri Kesihatan itu menerima sokongan yang baik daripada pengundi kawasan berkenaan.

KJ dilihat seperti selebriti apabila mendapat sokongan ramai setiap kali turun ke kawasan untuk berjumpa dengan pengundi.

Beberapa kenyataan KJ juga menimbulkan perasaan kurang senang Presiden UMNO, Zahid Hamidi apabila mereka berdua saling berbalas kenyataan secara terbuka.

Zahid dalam beberapa kenyataan akhir-akhir ini membidas kenyataan KJ yang menguatkan lagi pandangan bahawa ada ribut dalam cawan melibatkan kedua-dua pemimpin itu.

Ada yang berpandangan KJ perlu dimenangkan di Sungai Buloh supaya ‘Budak Tingkat 4’ itu boleh mencabar kedudukan Zahid selepas ini pada Pemilihan UMNO yang akan datang.

Dengan memberi undi kepada KJ juga, UMNO boleh dibersihkan daripada segelintir pemimpin yang tidak disukai dan terkait dengan kes mahkamah.

Tetapi adakah semudah itu untuk membersihkan UMNO? Adakah dengan memberi undi kepada KJ kali ini, UMNO akan berjaya dibersihkan dan adakah KJ mampu melakukannya?

Sebenarnya, bukan mudah untuk mengubah UMNO dan BN kerana jika parti itu mahu berubah, sepatutnya sudah lama mereka berbuat demikian.

Contohnya, semua orang tahu bahawa Zahid adalah liabiliti UMNO tetapi parti itu terus mengekalkannya sebagai pemimpin.

Sepatutnya Pemilihan UMNO diadakan sebelum PRU15 bagi menukar presiden, tetapi pimpinan atasan dan penyokong mereka tidak mahu berbuat demikian.

Oleh sebab itu, pada pandangan Tok Chey, undi tidak boleh diberi kepada KJ kerana dengan menyokong setiap calon BN, bererti kita semua memberi laluan kepada Zahid untuk menjadi Perdana Menteri.

Undi kepada BN juga bermaksud kita semua memberi nafas kepada BN untuk kembali bangkit.

Tok Chey yakin KJ tidak akan mampu untuk menyingkirkan Zahid kerana dalam UMNO, ramai lagi pemimpin besar yang menyokong Zahid. Usaha untuk melemahkan pengaruh Zahid dari dalam adalah sukar.

Usaha paling berkesan untuk menyingkirkan Zahid dan pemimpin kluster mahkamah lain adalah dengan melemahkan mereka dari luar.

Jangan beri sebarang undi kepada BN!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here