PRU-15:Calon PN yakin menang di Simpang Renggam

CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Fazrul Kamat meletakkan keyakinan 80 peratus akan menang di kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, keyakinan itu dilihat selepas lapan hari berkempen susulan maklum balas yang diperoleh berdasarkan kempennya bertemu pengundi.

“Rata-rata pengundi Simpang Renggam meluahkan rasa mahukan pemimpin dalam kalangan anak tempatan kerana lebih tahu apa yang mereka mahukan.

“Hanya saya seorang sahaja anak tempatan yang menjadi calon di Simpang Renggam. Pengundi Simpang Renggam selesa dengan calon PN.

“Mereka mendambakan seorang pemimpin yang boleh mewakili mereka di Simpang Renggam,” katanya ditemui pemberita dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, lapor Sinar Harian, hari ini.

Mohd. Fazrul berkata, beliau turut yakin dapat menandingi calon-calon yang lain berdasarkan perkara itu dan ia merupakam kelebihan yang ada pada dirinya.

Ditanya mengenai agenda yang difokuskan dalam kempennya, Mohd. Fazrul berkata, beliau lebih mementingkan kepada isu pendidikan kemahiran khususnya kepada anak muda kerana ia lebih penting.

Katanya, menerusi kemahiran yang dimiliki anak-anak muda boleh menggunakan ilmu itu untuk menjana pendapatan dalam usaha memperbaiki taraf hidup dan ekonomi keluarga mahupun diri mereka sendiri.

“Anak muda banyak yang terkesan sebab ada yang tidak memiliki pekerjaan dan itu sudah pasti menjejaskan keharmonian hidup mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Fazrul mendakwa, kempen yang dilakukan oleh penyandang kerusi Parlimen berkenaan dan dicalonkan semula untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik, tidak mendapat sambutan warga Simpang Renggam.

Katanya, meskipun dilihat ramai yang hadir ketika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan ceramah pada siri jelajahnya di Simpang Renggam baru-baru ini, namun apabila kempen Maszlee tidak dibantu oleh pemimpin-pemimpin utama partinya ia menjadi hambar.

“Adalah sumber-sumber yang kata, bila mana Dr. Maszlee berucap tiga suku di dalam dewan keluar, tapi kalau Anwar Ibrahim penuh (dewan).

“Tapi saya tak taulah content ceramah dia itu apa,” kata beliau yang berdepan saingan empat penjuru dengan dua lagi calon adalah dari parti BN dan seorang lagi calon dari parti Pejuang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *