Oleh RIZQI ZABIDI
Perpaduan ummah yang diusahakan selama ini tidak seharusnya dilihat dari aspek politik semata-mata memandangkan idea tersebut bukannya datang dari mana-mana individu termasuk Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pun Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memimpin Pas.
Sebaliknya tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, perpaduan ummah itu merupakan satu tuntutan agama yang tidak pernah ditarik balik oleh Allah.
Justeru katanya, adalah menjadi kewajipan untuk setiap umat Islam bergerak ke arah itu kerana perpaduan ummah amat penting bagi menyebarkan dakwah Islam serta menghadirkan kebaikan dalam masyarakat.
“Kita hendak berpadu ini sebab ada matlamat. Matlamatnya pula bukan kerana saja-saja mahu menjadi ketua sebaliknya mahu melihat Islam dilaksanakan dan kita mendapat keberkatan daripada apa yang dilakukan.
“Perpaduan ummah yang kita usahakan ini ibarat mahu mendapatkan ikan menggunakan belat (bidai menangkap ikan). Dalam pada kita menepuk-nepuk air mengarahkan ikan supaya masuk ke belat, tiba-tiba ada kawan terjun ke sungai hingga menyebabkan ikan berselerak.
“Tuhan mungkin nak bagi kita terus bekerja ke arah itu (perpaduan ummah). Tuntutan kepada agenda perpaduan ummah adalah satu kewajipan yang Allah sebut dalam al-Quran dan nabi sebut dalam hadis supaya kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Umum PRU-15 Perikatan Nasional (PN) di Dataran Pak Su Mat Yeh, Padang Sera dekat Jerlun, malam tadi.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan bagaimana perpaduan dalam kalangan umat Islam kelihatan begitu kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini.
“Beratus-ratus ribut umat Islam berhimpun di Kuala Lumpur bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Kita berucap dan bantah hingga keadaan kemudian menjadi reda sedikit demi sedikit.
“Tetapi kita perlu berjaga-jaga kerana puak-puak ini tak akan berhenti. Golongan ini akan teruskan agenda dalam bentuk lebih diplomasi serta lembut dan itu lebih bahaya daripada mereka datang dalam keadaan kasar hingga nampak jelas mahu mengancam kedudukan Islam itu sendiri,” katanya.
Leave a Reply