Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) akan menyediakan penyata laporan bagi mencatat pencapaian dalam tawaran manifestonya yang dilaksanakan, jika berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran PN PRU-15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan.

“Setiap pencapaian yang tertulis pada tawaran itu akan dicatat dan dikemukakan dalam bentuk penyata laporan sebagai bukti setiap apa yang dijanji dilaksana sepanjang tempoh pemerintahan.

“Tawaran PN PRU15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan yang sudah pasti dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat.

“Insya-Allah tidak ada seorang pun yang ketinggalan dalam menikmati hasil kemakmuran negara,” kata Muhyiddin dalam catatan Facebook hari ini.

Untuk rekod Perikatan Nasional juga akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif yang ditawarkan itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menceritakan siri jelajahnya di Batu Pahat semalam yang turut memperkenalkan empat calon PN bertanding PRU-15 iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr. Abdul Karim Deraman ( Parit Sulong); Mohd Fazrul Kamat ( Simpang Renggam) dan Zanariyah Abdul Hamid calon Parlimen Sri Gading.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau dapat merasakan sudah ada gelombang kebangkitan rakyat untuk memilih pemimpin berkelayakan bagi menjunjung amanah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, kesemua calon ditampilkan PN juga amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing.

“Saya menegaskan semua calon ini amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk membawa suara rakyat ke Parlimen nanti,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengulangi gesaannya agar pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi Sabtu ini bagi memilih parti politik yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

“Setiap ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak-anak mereka memilih pemimpin yang amanah yang dapat menggalas tugas demi pembangunan ummah,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *