Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

REPLIKA sebuah pesawat Boeing 737 yang bertemakan bendera Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke sebuah kampung di Sik, Kedah.

Lapor Free Malaysia Today, oleh kerana jumlah pengunjung yang ramai, penduduk terpaksa membantu mengawal lalu lintas dan menyediakan tempat letak kereta khas untuk pelawat yang datang ke Kampung Batu Besar, lokasi pesawat itu berada.

Antara pengunjung yang hadir termasuklah, sekumpulan 35 penyokong Pas yang menunggang motosikal selama lima jam dari Gerik, Perak ke kampung itu.

Ibrahim Ahmad, 46, dia dan kawan-kawannya memutuskan untuk berkonvoi menaiki motosikal ke Sik selepas melihat satu video di TikTok mengenai kapal terbang itu.

Satu pondok kecil berhampiran turut menyediakan makanan percuma kepada pengunjung. Pelawat yang merakamkan gambar di replika pesawat itu turut menyumbang dalam tabung derma bagi membantu kempen pilihan raya Pas.

Pelawat masuk ke dalam “kabin” pesawat itu yang dihiasi lukisan mural pada dinding.

Replika pesawat itu sebenarnya dibina seorang penyokong Pas kira-kira empat tahun lalu dan dicat dengan warna parti itu. Ia sekali lagi menarik perhatian orang ramai selepas dicat dengan tema biru PN.

Pelawat boleh masuk ke dalam kabin menggunakan tangga yang dilengkapi dengan kipas siling, lampu chandelier dan dialas dengan tikar mengkuang. Dindingnya pula dihiasi lukisan mural sungai dan hutan serta watak kartun.

Penyokong Pas yang juga penyelia tapak, Mat Piah Hat, 51, berkata, replika itu dibina untuk kempen pilihan raya umum 2018. Penduduk kemudiannya mengecat replika itu bagi menandakan kerjasama parti itu dalam PN.

“Kira-kira 10 orang mengecat pesawat ini. Kami mengambil masa lima hari dan lima malam untuk menyiapkannya. Ia adalah usaha komuniti ini,” katanya.

Seorang ahli perniagaan membiayai kos membina replika pesawat itu dan beliau juga membenarkan ia ditempatkan di depan halaman rumahnya.

Katanya, penyokong Pas sebelum ini pernah membina replika helikopter daripada buluh dan menghiasnya dengan simbol Pas.

Mat berkata, pesawat itu melambangkan masa depan Pas, di mana parti itu suatu hari nanti akan melonjak lebih tinggi dan bakal memerintah kerajaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Razif berkata, kampung itu kini menjadi “mercu tanda Sik” walaupun terletak 12km dari pusat bandar itu.

“Apabila saya beritahu saya dari Sik, ramai yang garu kepala. Tetapi apabila saya cakap saya berasal dari kampung yang ada kapal terbang Pas, mereka semua tahu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *