PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai pengaruh dan sokongan di peringkat akar umbi di Parlimen Sungai Buloh walaupun berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Calon PN dari Pas, Mohd. Ghazali Md. Hamin berkata, populariti calon BN, Khairy Jamaluddin dan dan Calon PH, Datuk R. Ramanan tidak menjadi masalah buat PN.
Jelasnya, PN bukan hadir dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 di kawasan itu sekadar untuk menjadi ‘pemecah undi’ terutama di kawasan Melayu, sebaliknya yakin mampu melakar kejutan di Parlimen Sungai Buloh.
“‘Niat kita membentuk gabungan bersama Parti Pribumi Bersati Malaysia (Bersatu) sebagai PN memang untuk memenangi PRU-15 ini dan membentuk kerajaan, bukan sekadar menjadi calon untuk pecahkan mana-mana undi.
“Sebab jangan dilupa pada PRU-14 lalu, Pas memperoleh undi kedua tertinggi dan dengan pengunduran penyandang kerusi, R. Sivarasa daripada PKR, saya melihat saingan lebih terbuka di sini, malah kita juga ada pengundi tegar.
“Saya juga yakin pengundi sudah bijak untuk menilai parti mana yang mampu menerajui negara dengan bersih dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan ramah mesra bersama penduduk sekitar Taman Saujana Utama 1, di Sungai Buloh, hari ini.
Mohd Ghazali berkata, statusnya sebagai anak tempatan dalam Parlimen itu boleh memberi kelebihan berbanding dua nama besar yang jelas adalah orang luar.
“Mereka (KJ dan Ramanan) dua nama besar, saya orang kecil sahaja, modal pun kecil, cuma kelebihan saya bukan orang luar, saya tinggal di Kota Damansara, saya harap status sebagai orang tempatan akan memberi sedikit kelebihan,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, sekiranya dipilih pengundi, khidmat kebajikan kepada golongan susah akan menjadi keutamaan.
“Selain itu kita akan cuba mencari penyelesaian terbaik kepada masalah banjir dan banjir kilat yang tidak berjaya diselesaikan PH terutama dalam kawasan Parlimen ini biarpun sudah mentadbir Selangor untuk beberapa penggal,” katanya.
Ditanya sama ada penggunaan logo PN berbanding Pas boleh mendatangkan kekeliruan kepada pengundi, Mohd. Ghazali berkata, perkara itu bukan lagi isu kerana penerangan jelas sentiasa diberikan kepada pengundi.
“Soal logo hanya strategi, ia benda yang boleh diubah, kita sudah ada kesepakatan mengenainya, malah masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sudah digunakan logo PN, masih berjaya dapat undi,” katanya.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru, selain Mohd. Ghazali, Khairy dan Ramanan, turut bertanding ialah Mohd. Akmal Yusoff (Parti Pejuang Tanah Air), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.
Pada PRU-14, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A. Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642).
Leave a Reply