PRU-15: Mas Ermieyati tawar 5 teras manifesto PN Masjid Tanah

PENYANDANG Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berikrar melaksanakan lima teras manifesto Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah untuk dilaksanakan jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Lima teras manifesto itu merangkumi aspek pendidikan, belia dan anak muda, peluang ekonomi dan keusahawanan, kesejahteraan dan kebajikan serta infrastruktur kampung dan ameniti awam bagi memajukan kawasan parlimen diwakilinya.

“Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi menawarkan lima teras itu sebagai perkara utama akan saya laksanakan jika dipilih mewakili rakyat Masjid Tanah pada 19 November ini,” katanya berucap melancarkan manifesto berkenaan di perkarangan Bilik Gerakan Utama PN, malam ini.

Hadir sama, Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Masjid Tanah yang juga Pesuruhjaya Pas Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman.

Mas Ermieyati bakal ditentang calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid; Handrawirawan Abu Bakar mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Mutalib Uthman, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati turut bercadang menyediakan pusat tuisyen khusus untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) khusus untuk pelajar keluarga B40 dan M40.

“Kami mahu mewujudkan akademi kecemerlangan anak Masjid Tanah, pusat sukan elektronik untuk anak muda mengasah bakat dalam bidang e-sukan dan akademi kecemerlangan dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) untuk belia serta anak muda,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata, turut dijanjikan adalah peluang ekonomi dan keusahawanan bagi memperkasa agenda ekonomi digital, menyediakan pusat pengumpulan dan pemasaran produk kraftangan, hasil pertanian dan produk perusahaan kecil dan sederhana.

Bagi meningkatkan infrastruktur kampung dan ameniti awam, beliau bercadang menaik taraf prasarana pelancongan, terutama di pantai peranginan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *