Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

LEBIH 100 penduduk di bahagian tanah besar Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) akibat bencana banjir kilat sejak tengah malam tadi.

Mereka terdiri daripada seramai 86 mangsa daripada 26 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) True Light, Juru.

Selain itu, seramai 20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

Difahamkan, terdapat sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) awal pagi ini selepas banjir kilat melanda ekoran hujan lebat dan berterusan di negeri itu sejak pukul 5 petang semalam.

20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu, air mulai surut di kebanyakan kawasan awal pagi ini dengan beberapa mangsa juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Mungkin JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) boleh terangkan apakah langkah-langkah jangka pendek dan sederhana untuk mengawal keadaan ini (aliran air kuat hingga mengakibatkan berlakunya banjir),” katanya.

Dalam pada itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dilaporkan berkata, pemantauan berterusan terhadap paras air semasa dilakukan hingga pagi ini.

“Kita akan siasat dan kenal pasti punca berlakunya kejadian banjir kilat ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *