Oleh BADLISHAH MAT
EKONOMI negara dibimbangi akan terancam sekiranya Pakatan Harapan (PH) dibenarkan kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor tersebut ditambah jangkaan situasi ekonomi yang lembap pada tahun hadapan.
Katanya, ekonomi Malaysia akan parah sekiranya mereka tidak meletakkan dasar yang pragmatik, progresif dan meyakinkan pelabur.
“Saya bimbang ekonomi Malaysia akan kembali kepada keadaan parah, apa yang PN lakukan hari ini adalah untuk menyiapkan negara berhadapan dengan kemungkinan kesan ketidaktentuan ekonomi tahun depan.
“Kita harap impaknya tidak terlalu besar kepada negara kerana asas ekonomi kita semakin kukuh, kesan ketidaktentuan ekonomi global pada 2023 akan mengurangkan impak ke atas ekonomi Malaysia,” katanya selepas Majlis Bersama Komuniti Cina di Lunas, Kulim hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ekonomi negara dilihat semakin meningkat berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini apabila mencapai pertumbuhan 14.2 peratus.
Kata calon PN Parlimen Gombak itu, kadar tersebut lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua.
Jelasnya, pendekatan yang tidak sihat oleh PH ketika memerintah selama 22 bulan lalu dengan menekan peniaga menyebabkan ekonomi negara tidak stabil.
“Oleh itu, PN mengambil pendekatan mesra pelabur serta melancarkan misi perniagaan dengan para pelabur dari luar negara,” katanya.
Leave a Reply