Anwar boleh lapor, bawa bukti untuk polis siasat – Hamzah

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta membuat laporan polis berhubung dakwaan anggota tentera yang mengundi pos di Parlimen Bera dibayar RM300.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan lanjut sekali gus membersihkan nama dan imej pasukan keselamatan yang tercalar akibat dakwaan itu.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu memberi jaminan, siasatan secara adil dan saksama akan dilakukan meskipun dakwaan itu melibatkan kawasan ditandingi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Siasatan secara adil tidak kiralah di mana sekalipun dakwaan itu, walaupun di Bera sekalipun atau calon itu melibatkan perdana menteri.

“Maka sebab itu kalau dia betul-betul yakin ada, tunjukkan bukti dan InsyaAllah kita akan ambil tindakan mengikut perundangan yang ada dalam negara,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pada Jumaat, Anwar dalam satu majlis di Kuala Nerus, Terengganu mendakwa anggota tentera di Bera yang terlibat dalam pengundian awal iaitu undi pos telah dibayar RM300.

Anwar turut mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *