IBU bapa bertanggungjawab membimbing dan menerangkan kepada anak mereka khasnya yang baru pertama kali mengundi parti mana yang perlu dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa perlu menyatakan kepada anak mereka untuk memilih pemimpin yang sudah terbukti berjasa dan dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu mengingatkan akan kepentingan memilih pemimpin yang bersama rakyat ketika susah dan senang dan pemimpin yang prihatin ketika rakyat bergelut dengan kesulitan.
“Kepada anak muda, keluarlah beramai-ramai dan laksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara yang layak.
“Kita khuatir jika mereka tidak keluar mengundi, pemimpin yang bersih dan berwibawa terlepas peluang untuk diangkat menerajui negara,” katanya menerusi catatan terbaharu di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menceritakan pertemuannya bersama penduduk Kundang Ulu, Parit Raja Gersik, semalam.
Beliau berkata, jentera PN diminta mengenal pasti pengundi di kawasan mereka mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.
Menurutnya, mereka diminta menyantuni pengundi berkenaan secara berhemah, bertoleransi serta memberikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat akan parti yang harus dipilih.
“Ketika saya bertemu dengan jentera parti di Bilik Gerakan PDM Gersik, saya meminta mereka mengenal pasti pengundi mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.
“Santuni mereka secara berhemah, bertoleransi serta berikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat,” katanya.
Muhyiddin pada masa sama memberitahu, beliau turut berkesempatan untuk bersama masyarakat India dan penduduk Tionghoa di sekitar bandar Pagoh dan meminta mereka keluar mengundi pada 19 November.
Katanya, masyarakat Tionghoa dan orang India diharapkan dapat memberi sokongan kepada beliau kerana PRU-15 paling penting yang menjadi penentu siapa dan parti mana yang bakal menerajui negara.
“Kita perlu menolak pemimpin yang sudah terbukti tidak prihatin rakyat dan menjejaskan imej negara pada mata dunia.
“Inilah masa untuk kita berganding bahu, mengerah kudrat dan tenaga bagi memastikan hanya pemimpin yang layak dan berwibawa dipilih memimpin negara tercinta. Ayuh semua keluar mengundi, keputusan di tangan anda!,” katanya.
Leave a Reply