Zamani Slam dibenarkan keluar hospital

PENYANYI Zamani Slam dibenarkan keluar hospital petang ini selepas tiga hari menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada Isnin lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan isterinya, Nur Juliana Abd Rani menerusi catatan di akaun Instagram miliknya.

“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah Zamani dibenarkan keluar hospital petang ini.

“Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor, team operation (pasukan pembedahan) dan semua kakitangan Sunway Medical Centre Velocity serta kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani pembedahan sehingga ke hari ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi), semua peminat-peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani. Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya.

Semalam, Juliana memaklumkan suaminya sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang badan yang melengkung akibat penyakit scoliosis.

i dia dan keluarga enggan menerima sebarang kunjungan daripada pihak luar kerana ingin memberi waktu kepada pelantun lagu Gerimis Mengundang itu mendapatkan rehat yang cukup. Malah, dia juga berharap semua pihak dapat memahami keadaan tersebut.

“Kami sekeluarga sangat menghargai keprihatinan semua yang mengambil berat dan bertanya khabar.

“Walau bagaimanapun kami memohon kerjasama dari semua pihak untuk memberi ruang kepada beliau dan keluarga diwaktu ini kerana Zamani masih berada di dalam keadaan lemah dan perlukan banyak rehat.

“Seperti mana yang semua sedia maklum pembedahan yang dijalankan adalah satu pembedahan yang besar maka untuk pulih dan kembali sihat pasti mengambil sedikit masa.

“Atas nasihat doktor Zamani perlu banyak berehat supaya rawatan dan pemulihan terhadap beliau berjalan dengan lancar.

“Kami memohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang tetamu untuk melawat Zamani buat masa ini. Diharap semua dapat memahami keadaan Zamani dan keluarga ketika ini,” tambahnya.

Terdahulu, Zamani telah dibawa masuk ke dewan bedah sekitar jam 8 pagi Isnin dan prosedur pembedahan itu memakan masa hampir tujuh jam seperti yang dimaklumkan pakar perubatan.

Difahamkan juga, tempoh pemulihan Zamani akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu. Malah, dia turut memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *