Pelajar perempuan maut jatuh bangunan sekolah

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Alor Setar ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh di bangunan setinggi empat tingkat pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian berlaku ketika pelajar-pelajar sekolah terbabit belum memasuki kelas masing-masing kerana menghadiri perhimpunan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati bangunan sekolah itu setinggi empat tingkat yang menempatkan perpustakaan di aras bawah dan kelas bagi tingkatan enam di tingkat tiga.

“Namun, tingkat dua dan tingkat empat di bangunan itu kosong. Menurut saksi, ketika kejadian keseluruhan bangunan itu tidak berpenghuni kerana para pelajar menghadiri majlis perhimpunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Shukri, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *