POLIS menahan tiga lelaki selepas dipercayai menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita di sebuah pasar raya, di Kuala Selangor, semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan di sekitar Kuala Selangor pada pukul 11 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Ramli Kasa, penahanan dibuat susulan laporan dibuat seorang Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.
Katanya, pada pukul 8.40 semalam, pengadu menerima panggilan berhubung seorang wanita yang cedera di sebuah pasar raya.
“Pada pukul 9 malam, pengadu tiba di lokasi dan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke ambulans, didapati ada pihak yang menyerang pemandu ambulans,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Ramli berkata, susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.
“Punca kecederaan wanita dan punca kejadian masih dalam siasatan. Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 32 saat memaparkan petugas kesihatan yang dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera.
Leave a Reply