Oleh RIZQI ZABIDI
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria hari ini mengangkat sumpah selaku Exco Kerajaan Negeri Kedah yang baharu dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga.

Ahli Jawatankuasa Pas Kedah itu mengangkat sumpah kira-kira pukul 11 pagi di depan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Mohamad Yusof yang juga Ketua Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Padang Terap dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan ADUN Sungai Tiang dari UMNO, Datuk Suraya Yaakob yang meletakkan jawatan pada 13 Oktober lalu
“Mohamad Yusof merupakan satu-satunya nama yang saya calonkan untuk memegang jawatan tersebut dan Sultan Sallehuddin memberikan perkenan terhadap pelantikan beliau.
“Di pihak kerajaan negeri, kami mengalu-alukan pelantikan ini dengan harapan semua pihak akan memberikan
kerjasama baik kepada beliau untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan..
“Portfolion ini dianggap sebagai antara yang paling utama dan penting buat Kedah. Mohamad Yusoff memiliki pengalaman dalam kerja-kerja sivil dan beliau diyakini mampu mengendalikan projek-projek penting sedang dijalankan termasuk naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) serta tebatan banjir,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mohamad Yusoff sebelum ini turut pernah menjadi ADUN Kuala Nerang pada 1999 namun ini merupakan kali pertama beliau diberi kepercayaan untuk menjadi exco.
Sementara itu Mohamad Yusoff ketika ditemui menjunjung kasih terhadap perkenan Sultan Kedah serta menyatakan penghargaan kepada Muhammad Sanusi terhadap kepercayaan diberikan.
“Bagi saya, jawatan ini bukanlah satu penghormatan sebaliknya amanah serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
“Diakui, di luar sana memang masyarakat agak riuh juga mengenai isu air apatah lagi penyelesaiannya mengambil masa kerana lima LRA itu akan siap dinaik taraf antara 2023 hingga 2024. Harap rakyat bersabar dan kita akan usahakan sebaik mungkin bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.
Leave a Reply