Selamat nyawa lebih 30 juta rakyat bukti keprihatinan PN – Muhyiddin

USAHA menyelamatkan nyawa lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika negara berdepan pandemik Covid-19, adalah bukti keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), walaupun ketika itu UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bergabung mendakwa kerajaan gagal.

Sebaliknya, terbukti di atas usaha dilakukan kerajaan diterajui PN ketika itu, kini rakyat kembali dapat melakukan pelbagai usaha menyambung semula aktiviti yang terputus ketika sekatan pandemik dilakukan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara usaha dilakukan kerajaan pimpinannya ketika itu adalah membeli seberapa banyak yang boleh vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat.

“Jangan lupa vaksin datang daripada sumbangan dan usaha keras kerajaan Perikatan Nasional.

“Itu satu bab mengenai kehidupan… mengenai berapa banyak nyawa yang hendak kita selamatkan.

“Berapa nyawa kita selamatkan… lebih 30 juta rakyat Malaysia kita (kerajaan PN) selamatkan,” katanya berucap pada program ‘Santai petang bersama TSMY’ di Arau, Perlis, semalam.

Hadir sama calon PN Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengajak rakyat Perlis supaya mengundi PN supaya pentadbiran kerajaan negeri diambil alih dan meletakkan calon Pas sebagai Menteri Besar, selepas 19 November ini.

“Jadi sebaik mungkin adalah, kita berjuang habis-habisan atau sampai penghujung PRU ini dengan harapan memperolehi sokongan besar dari pengundi agar berjaya membentuk kerajaan,” katanya, lapor Berita Bersatu.

Menurutnya PN menerusi manifesto bertemakan PN BEST, menawarkan janji yang boleh dilaksanakan dalam tempoh lima tahun untuk kesejahteraan pelbagai peringkat masyarakat.

“Tidak ada seorang pun lapisan masyarakat yang dikecualikan dalam manifesto Perikatan Nasional,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *