KEBANGKITAN rakyat Perlis dapat dikesan setiap kali program anjuran Perikatan Nasional (PN) yang mendapat sambutan di luar dugaan.
Buktinya sekali lagi ribuan rakyat Perlis hadir pada program ceramah Jelajah PN Best di Kuala Perlis malam tadi dalam hujan lebat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba dalam keadaan hujan lebat teruja dengan perkembangan tersebut berkata, kehadiran mereka semakin menguatkan semangat.
“Walau ribut dan badai melanda, ia tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk terus mara ke hadapan.
“Dalam perjuangan perlu ada keberanian untuk menghadapi segala cabaran, dugaan dan rintangan,” katanya dalam program tersebut, katanya lapor portal HarakahDaily.
Menurutnya, berdasar perkembangan yang berlaku itu PN mempunyai peluang lebih cerah untuk menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung 19 November ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, gelombang itu bukan hanya di Perlis tetapi melanda seluruh negara sekarang ini.
“Saya dapat menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri Perlis sudah ada gelombang hebat. Ini menunjukkan petanda luar biasa rakyat Perlis sudah bersedia menyokong PN bagi menerajui sebuah kerajaan baharu.
“Begitu juga untuk menegakkan sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan di bawah Perikatan Nasional. InsyaAllah, jika gelombang ini berterusan ia akan menjadi gelombang yang lebih besar,” katanya.
Menurut beliau, usaha gigih dilakukan pasukan kempen PN bagi mewujudkan sebuah kerajaan Malaysia yang bersih, stabil dan menjamin masa depan lebih baik.
Pada majlis tersebut, calon-calon PN diperkenalkan kepada orang ramai yang hadir.
Leave a Reply