Oleh BADLISHAH MAT
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas memiliki pandangan sama serta sehati sejiwa dalam menentukan calon menteri besar termasuk di Perlis dan Pahang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas sememangnya layak mengetuai kedua-dua negeri itu memandangkan parti itu berada di kedudukan lebih senior dan bertanding lebih banyak kawasan.
Katanya, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pas akan diberikan laluan untuk memimpin negeri itu sebagai menteri besar juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Di Pahang contohnya, Pas bertanding 24 daripada keseluruhan 42 kerusi yang ada di negeri itu. Lagi pun, Pas sudah bertapak lama di negeri itu manakala Bersatu pula keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
“Bersatu masih di peringkat menstabilkan kedudukannya dan sudah tentu dari aspek politik untuk memimpin negeri, (pemimpin) yang lama itu kena ada. Senioriti, kestabilan, kekukuhan jentera dan cawangan perlu diambil kira.
“Itu perkara biasa dalam politik dan saya tidak terkejut dengan pengumuman tersebut. Tan Sri Muhyiddin pun mengumumkan secara spontan tanpa ada sebarang perbincangan dan itu menunjukkan bahawa Pas dan Bersatu ini sama pandangan serta sehati sejiwa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kempen Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Antara Kerajaan Negeri Kedah dan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, Bersatu akan memberi sokongan penuh kepada wakil Pas apatah lagi setelah melihat prestasi baik dicatatkan Kedah di bawah pimpinan Muhammad Sanusi.
Namun, Muhammad Sanusi berkata, keputusan mengenai siapa calon yang bakal menduduki kerusi itu bagaimanapun akan ditentukan Pas pusat.
“Namun di Pahang, kita ada calon yang kuat iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti diumumkan Muhyiddin tempoh hari. Pandangan saya, beliau merupakan taruhan yang kuat untuk kita di negeri itu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pas akan mempelawa dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib serta Datuk Seri Shahidan Kassim menyertai parti itu, beliau berkata, perkara itu juga terpulang kepada Pas Pusat.
“Bab nak jadi ahli Pas, kena tanya Pas Pusat. (Tetapi) saya rasa orang macam itu (Shahidan dan Ismail) patut dialu-alukanlah.
“Saya difahamkan Shahidan yang bertanding atas tiket PN belum tentukan parti mana akan disertai selepas PRU. Semua orang ada kelebihan tetapi itu kena tanya Pas Pusatlah,” katanya.
Leave a Reply