PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa beliau mendapat berita sahih bahawa Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya jumlah kerusi Parlimen kedua-dua parti itu boleh membentuk kerajaan.
Jika perkara itu benar-benar terjadi, katanya, bukan sahaja ahli UMNO sendiri yang rugi, malah akan menjadi satu berita buruk kepada negara.
“Saya telah dapat berita sahih pada pagi ini bahawa ada pakatan yang sulit di antara Zahid (Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Presiden PKR dan Pengerusi PH),” katanya.
Calon PN itu yang mempertahankan Parlimen Pagoh berkata demikian ketika majlis sembang santai bersama penduduk Kampung Panjang Sari, Kampung Sri menanti dan Kampung Sri Makmur di Pagoh, Muar hari ini.
Menurutnya jika gabungan itu menjadi kenyataan ianya boleh merugikan orang Melayu dan negara kerana dalam PH terdapat DAP yang menentang hak keistimewaan orang Melayu hingga berusaha untuk mengubah undang-undang.
“Saya biasa duduk bersama DAP dulu. Tapi Saya tak boleh duduk lama… pasal bila Bersatu ada bersama dengan Pakatan Harapan yang di dalamnya ada DAP, sokongan orang Melayu terus merosot.
“Pilihan raya kecil di Semenyih kalah. Di Tanjung Piai kalah. Waktu itu saya dah beritahu Tun Dr. Mahathir Mohamad… saya kata Tun… kita tak keluar daripada Pakatan Harapan lunyai kita dibuat dalam pilihan raya akan datang.
“Hari ini alhamdulillah saya tinggalkan Pakatan Harapan. Pasal ada DAP dalam itu. Kita tahu parti-parti ini nampak demokrasi… tapi apa perjuangan dia? Apa ideologinya? Tak selari dengan perjuangan kita orang Melayu Islam dan juga rakyat Malaysia yang lain,” katanya, lapor Agenda Daily.
Beliau memberi contoh, apabila DAP meminta lapan Ketua Setiausaha Negara ditukar sebaik sahaja mereka naik menjadi kerajaan selepas PRU-14.
Kata Muhyiddin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu mahu mengambil RM2 bilion wang Ekuinas yang ditubuhkan untuk membina dan memperbaiki jalan di Tanah Rancangan Felda.
“Jadi sebab itu, kalau Zahid… dia kata mungkin dia tak cukup kerusi. Dia dah beritahu dia akan gabungkan dengan Pakatan Harapan.
“Jadi jika sudah begitu keadaannya BN dan PH… maka rakyat, termasuk ahli UMNO, tiada pilihan selain mengundi Perikatan Nasional supaya dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya.
Leave a Reply