TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat terutamanya umat Islam diajak mengubah perkara yang mungkar atau perkara mengingkari perintah Tuhan agar kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, sebagai seorang Muslim, mereka dituntut supaya tidak berdiam diri apabila melihat kemungkaran berlaku.
Menurutnya, beliau sendiri akan menentang setiap perkara yang salah kerana ia adalah prinsipnya.
“Segala perkara yang salah saya akan tentang. Ini adalah prinsip saya. Apatah lagi sebagai seorang Muslim, kita dituntut supaya tidak berdiam diri apabila melihat kemungkaran berlaku.
“Ubahlah yang mungkar itu supaya kehidupan kita menjadi lebih baik,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah lalui pelbagai rintangan dalam perjuangan menentang kemungkaran semata-mata untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih.
Malah tegasnya, beliau yakin rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bersih dengan pemimpinnya bebas rasuah.
“Saya yakin semua dari kita mahukan Kerajaan yang bersih. Kerajaan yang dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bebas rasuah.
“Kami di Perikatan Nasional memberi komitmen untuk ini. Kerajaan Bersih. Selain dari Kerajaan Prihatin dan Kerajaan Stabil,” tambahnya.
Leave a Reply