INISIATIF Majlis Pemulihan Negara (MPN) banyak membantu pengusaha hotel bajet yang berdepan beban kewangan sehingga menjejaskan operasi perniagaan mereka ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
Situasi paling sukar ditempuhi pengusaha ialah masalah aliran tunai yang kronik, namun kemudiannya secara perlahan-lahan berusaha diatasi hasil bantuan kerajaan dan juga pembukaan semula sempadan negara susulan peralihan ke endemik yang merancakkan kembali industri pelancongan.
Pemilik Lavender Inn, Jarod Chia, berkata sepanjang pandemik ramai pengusaha hotel bajet termasuk dirinya menghadapi masalah aliran tunai yang kronik, namun menerusi inisiatif diterima, situasi sukar berkenaan dapat dilalui sehinggalah negara berubah ke fasa pemulihan dan aktiviti ekonomi dibuka sepenuhnya.
“Moratorium dan Program Subsidi Upah (PSU) yang diberikan banyak membantu saya. Terutama dalam soal aliran tunai yang mana kita boleh gunakan untuk perkara yang lebih penting ketika itu termasuk membayar gaji pekerja.
“Walaupun PSU yang diberi hanya RM600, ia masih lagi membantu dalam mengurangkan sebahagian beban, yang mana bila pembayaran gaji pekerja sebahagian sudah dibantu kerajaan,” katanya kepada BH.
Beban kewangan ketika PKP
Pengusaha bersama Ridel Boutique Hotel di Kelantan, Wan Fauziah Wan Mamat, berkata bantuan moratorium banyak membantu memandangkan sebahagian besar pengusaha hotel mengalami masalah kewangan yang agak meruncing disebabkan oleh kurangnya pelanggan dan hasil jualan rendah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bantuan PSU RM600 sedikit sebanyak membantu meringankan beban pengusaha bagi memastikan perniagaan terus dapat dijalankan.
“Pelbagai cabaran dihadapi pengusaha antaranya mendapatkan semula pekerja baharu disebabkan oleh sebahagian pekerja diberhentikan kerana tidak mampu membayar gaji pekerja.
“Malah, ada pengusaha juga terpaksa memohon pinjaman bagi mendapatkan modal pusingan berikutan pengusaha gagal mendapatkan pinjaman disebabkan oleh syarat begitu ketat oleh pihak bank,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bajet Hotel dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Kelantan turut mencadangkan supaya subsidi upah (PSU) dapat diteruskan untuk sekurang-kurangnya setahun lagi bagi memastikan kestabilan kewangan kepada pengusaha.
“Tidak dinafikan pandemik meninggalkan kesan yang besar hingga ada pengusaha hotel bajet terpaksa menutup operasi bagi mengelak terus menanggung bebanan kewangan,” katanya.
Sementara itu, pemilik 1108 Hotel dan Resort Sdn Bhd, Zamari Muhyi, berkata PSU banyak meringankan beban pengusaha hotel bajet untuk kekal bersaing dan bertahan.
“Begitu juga dengan inisiatif moratorium, walau tidak begitu popukar tetapi ia tetap membantu, saya juga harap ada bantuan berterusan kepada pengusaha kerana masih ada yang berhadapan kos operasi meningkat dan kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, berkata pihaknya mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, sektor terbabit masih bergelut untuk pulih dalam transisi endemik selepas menghadapi pelbagai cabaran selepas tidak beroperasi kira-kira dua tahun akibat Covid-19.
Leave a Reply