SERAMAI tiga penghuni Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland, George Town, Pulau Pinang cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 9.42 malam tadi.
Mangsa masing-masing berusia 8, 10, dan 13, tahun itu cedera di beberapa bahagian badan namun keadaan mereka dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, runtuhan bumbung itu melibatkan bahagian asrama iaitu tempat tidur yang berkeluasan kira-kira 15 meter persegi panjang dan 12 meter persegi lebar.
Menurut beliau, asrama itu menempatkan seramai 30 penguni, namun ketika kejadian hanya tiga pelajar berada di dalam asrama terbabit manakala pelajar lain ada yang sedang mengambil makanan dan mengikuti kelas tuisyen.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan daripada penerangan doktor, penghuni yang berusia 13 tahun mengadu sakit belakang, 10 tahun sakit di bahagian tengkuk manakala 8 tahun cuma mengalami kecederaan ringan.
“Dua daripada mereka yang mengadu sakit belakang dan tengkuk akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui sama ada berlaku kecederaan dalaman atau sebaliknya,” tambahnya.
Tambahnya, seramai 27 penghuni lain yang terselamat akan ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, Georgetown.
Jelas beliau, pihaknya akan menutup lokasi itu untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 malam berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, seramai 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat.
“Ketika kita sampai, mangsa sudah dibawa keluar ke lokasi lebih selamat. Pemeriksaan di tingkat satu mendapati, memang benar bumbung di bahagian asrama telah runtuh,” katanya.
Leave a Reply