Tawaran PN BEST: Rancak proses pemulihan negara dengan membangunkan PMKS

PERIKATAN Nasional (PN) menerusi manifesto Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST berhasrat, merancakkan proses pemulihan negara dengan membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Misi itu termaktub di dalam Tunjang 1 manifesto PN BEST bertemakan ‘Membina ekonomi masa hadapan’.

Antaranya dirancang adalah meneruskan program penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran.

Ini bertujuan merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, dengan PMKS yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Menerusi Tunjang 1 juga, PN mahu ekonomi negara terus maju kehadapan sekali gus menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan.

Justeru, Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion akan ditubuhkan oleh PN sekiranya mendapat mandat daripada rakyat kelak.

Tabung itu bertujuan untuk menggalakkan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pada masa sama, sektor pertanian dan industri makanan juga akan dibangunkan dengan lebih rancak, lapor Utusan TV.

Untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat pada harga munasabah, enam Hub Mega Pengeluaran Makanan Negara akan diwujudkan di kawasan strategik.

Ia bagi tujuan pengeluaran, ketersediaan dan pengedaran makanan ke arah mencapai tahap sara diri negara.

Selain itu, peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk dana Fund for Food akan disediakan bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan menstabilkan harga.

Selain itu, PN akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor berpendapatan tinggi dengan menawarkan pewujudan satu juta pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Sasaran itu bersandarkan kepada pengalaman mewujudkan 558,000 peluang pekerjaan pada akhir tahun 2021 ketika PN merajui tampuk pemerintahan negara.

Malah, pada masa itu PN berjaya menyelamatkan lebih 163,000 syarikat dan tiga juta pekerjaan melalui penyediaan dana berjumlah RM20.29 billion dalam bentuk subsidi upah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *