Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan, 234 tawaran dalam Tawaran Perikatan Nasional akan dilaksana dalam tempoh lima tahun selepas rakyat memberi mandat untuk membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Jika PN menang, kita akan membentuk satu jawatankuasa khas dan bebas untuk memastikan semua yang kita janjikan ditunaikan.
“Sama-samalah kita berdoa agar dalam masa dua minggu ini akan ada gelombang kebangkitan untuk membersihkan negara ini daripada segala kekotoran dan kebobrokan.
“Usaha untuk memulihkan negara masih belum tercapai sepenuhnya. Kita tidak boleh membenarkan walau seinci pun daripada negara ini diperintah semula oleh mereka yang tidak amanah dan mengamalkan rasuah,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum itu menyempurnakan Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendang (PCC) di Kedah, malam tadi.
Bekas Perdana Menteri itu merakamkan penghargaan kepada warga Pendang kerana datang dengan begitu ramai pada malam tadi.
Situasi itu katanya, secara tidak langsung mereka sudah bersedia untuk mengundi calon PN daripada Pas, Datuk Awang Hashim.
“Pas dan Bersatu adalah pengasas pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang kita lihat hari ini dan saya tidak akan lupa akan peranan dan sumbangan Pas.
“Saya jelaskan kepada ribuan pengundi yang hadir termasuk ahli-ahli UMNO, adalah amat penting untuk mereka menyelamatkan negara dengan mengundi PN walaupun mereka mungkin masih berat hendak meninggalkan UMNO.
“Adalah menjadi tanggung jawab para pengundi untuk keluar mengundi pada 19 November ini waima apa jua situasi pada hari itu kerana negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat yang dapat membela nasib rakyat.
“Kita ada kemampuan untuk menguruskan negara dan kita berikrar untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) seperti mana terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional PRU-15.
“Antara tawaran utama PN adalah memperkasa Felda dan membantu golongan miskin termasuk penoreh getah dengan menetapkan harga lantai getah yang munasabah dan berpatutan.
“Jaminan kita seperti terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional adalah menolak rasuah dalam pentadbiran selaras janji PN dalam salah satu tunjang tawaran kita iaitu memastikan tadbir urus yang baik,” ujarnya.
Leave a Reply