Sasaran menang kesemua 15 kerusi di Kedah tidak mustahil

Oleh RIZQI ZABIDI

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sasaran gabungan itu untuk memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dicapai.

Katanya, momentum sokongan rakyat ketika ini jelas berpihak kepada PN bersandarkan data-data yang diperolehi daripada kajian dilakukan badan bebas.

“Bukan nak mendabik dada tetapi kita tahu macam mana reaksi di bawah dan maklum balas rakyat. Mereka tahu apa ada dalam UMNO dan orang UMNO sendiri pun marah dengan parti itu.

“Mereka sedang menghadapi masalah yang serius kerana soal calon dan PKR pula kita lihat, sokongan orang Melayu semakin merosot. Bersandarkan data kita ada, sokongan terhadap PN memang sedang meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendang (PCC) di Kedah, malam tadi.

Sementara itu Muhyiddin berkata, Bersatu tiada halangan untuk memberikan jawatan Menteri Besar kepada Pas sekiranya PN berjaya menang di Perlis dan Pahang dalam PRU kali ini.

Katanya, PN sangat terbuka mengenai perkara itu apatah lagi Kedah telah mencatatkan prestasi cukup baik di bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada Pas.

“Dalam PN, kami mempunyai prinsip yang terbuka dalam soal ini. Saya tak ada masalah jik awik Pas menjadi Menteri Besar di negeri yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka ramai. Kita sememangnya sudah memberikan kepada negeri yang mempunyai sokongan padu kepada negeri dipimpin Menteri Besar Pas seperti Kedah.

“Kita jangka mampu menang di kedua-dua negeri tersebut dan Pas memiliki kerusi yang banyak di Perlis dan Pahang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *