SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas disyaki melanggar syarat sah lesen apabila menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu dikesan Kapal Maritim (KM) SIKUATI ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 12.96 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.15 pagi semalam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu berpangkalan di Batu Maung, George Town, Pulau Pinang dan dikendalikan tiga warga tempatan termasuk tekong berumur antara 49 hingga 61 tahun.
“Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bot itu bersama kru, peralatan menangkap ikan serta ikan campur seberat kira-kira 30 kilogram (kg) ditahan dan dibawa ke Jeti Lembaga Ikan Malaysia Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim negara demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.
“Orang awam boleh melaporkan sebarang penemuan dan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.
Leave a Reply