OLeh BADLISHAH MAT
TAWARAN manifesto yang dibuat oleh Perikatan Nasional (PN) adalah berdasarkan pengalaman gabungan itu memerintah negara ketika waktu sukar pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi sebelum ini.
Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, faktor tersebut ditambah dengan kehadiran pemimpin yang bersih dan stabil yang memimpin negara dalam tempoh berkenaan.
“Manifesto PN berdasarkan pengalaman kita sendiri mengurus negara ini ketika sukar, dan ketika keadaan telah pulih pengalaman itu sangat berharga untuk kita lipat gandakan lagi usahanya.
“Waktu payah pun boleh berjalan tambahlah waktu senang, dalam gelap pun kita boleh sampai tambah dalam cerah dan berjalan kaki pun kita boleh pi tambah kita ada (kereta) Vellfire tak akan tak sampai.
“Kita akan sampai, Malaysia akan lebih makmur dan berjaya pada masa depan atas prinsip pemimpin negara mesti bersih daripada segala bentuk rasuah dan penyelewengan, senang sahaja,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah PN Parlimen Pendang yang turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pendang, malam tadi.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, negara akan hancur sekali lagi sekiranya rakyat terus memberi undi kepada pihak tidak sepatutnya termasuk Barisan Nasional (BN).
“Kalau tuan-tuan pi dok gagah undi BN sekali lagi negara ni akan terlingkup tak akan pulih lagi. Siapa di belakang calon BN, tuan-tuan suluh dan renung tengok nak serah sekali lagi ka kat depa ini.
“Kalau hampa serah juga hampa yang bodoh. Depa kata jangan maki pengundi, aku tak kira
bagi kat BN buat apa lepas itu hampa meratuih (merungut) harga barang naik, padi tak naik harga. Macam-macam dok mai tala kat aku, dah bagi BN sangat,” katanya.
Tambah beliau, negara ini perlu dibina oleh generasi baharu yang muda dan bijak pandai termasuk pelajar universiti dalam memilih siapa selayaknya mewakili mereka untuk menguruskan Malaysia.
“Sudah ada macam-macam maklumat sampai kepada kita, pilih satu parti yang bersih dan stabil untuk kita serahkan urusan negara ini ke tangan mereka. Mudah-mudahan dengan pilihan itu negara ini selamat untuk didiami generasi akan datang.
“Ini antara kejayaan dan kegagalan, kita sudah ada bukti satu kumpulan di bawah PN yang sudah menghasilkan banyak kejayaan kepada negara, dah selamatkan negara daripada kehancuran akibat wabak Covid-19.
“Kita ada pengalaman yang lebih dahulu pada itu, negara telah hancur kerana isu rasuah, penyelewengan. Gerombolan itu masih datang untuk tawar khidmat kepada kita konon ‘kami sudah bersih’, ‘kami sudah insaf’, ‘kami cerdik perintah negara’ macam-macam dia habaq tapi yang kita tau macam lain. Sebahagian besar orang-orang itu masih bersama mereka, jadi jangan buat silap kali kedua atau ketiga,” katanya.
Leave a Reply