Kedah mahu terus usaha eksport ketum secara sah bila PN menang

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat Kedah.

Beliau yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, pihaknya yakin langkah itu boleh direalisasikan sekiranya rakyat memberi mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Insya-Allah, bakal Perdana Menteri kita yang ke-10 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti akan mengusahakan sesuatu untuk penanam-penanam ketum, kita akan usaha sampai jadi.

“Saya yakin hal ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan. Kita ini negeri miskin, kalau jual ketum di sini RM30 sekilogram dan kalau seludup jual di Siam (Thailand) jadi RM150, sebab itu kita perlu benarkan eksport ketum ini,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah PN Parlimen Pendang malam tadi.

Menurut Muhammad Sanusi, usaha itu hampir menjadi realiti sebelum ini namun ianya tertangguh setelah kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.

“Kalau tidak, semua orang (yang tanam ketum) di Pendang ini sudah jadi jutawan. Kalau tak benarkan ada yang rebus di rumah orang beli sampai jadi hitam kulit (minum), lepas itu kepala pening. kita tak mahu orang kita ‘rosak’.

“Apabila kita eksport ke sana mereka akan proses jadi ubat, minuman berkhasiat dan pelbagai teknologi lagi ada untuk tujuan kesihatan. Ada juga kes orang seludup daun ketum lari sehingga jatuh gaung dan mati. Kalau dia tak perlu lari mungkin dia hidup sampai sekarang,” katanya.

Namun kata Muhammad Sanusi, lesen mengeksport daun ketum dicadangkan diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu supaya ia dapat dikawal jika aktiviti eksport dibenarkan.

“Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi jangan tanam, tunggu dulu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *