KERAJAAN akan membawa pulang baki 23 daripada 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi secara berperingkat bergantung sumber dana yang diperolehi untuk pembelian tiket.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu tidak telibat dengan bantuan dana kerana ia lebih kepada usaha yang dilaksanakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
“Kami lebih kepada membantu dalam urusan dengan Kerajaan Arab Saudi untuk membawa mereka pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di Indera Mahkota di sini.
Semalam, empat lagi jemaah selamat pulang ke tanah air selepas 36 jemaah dari kumpulan pertama tiba di negara ini pada 4 Oktober lalu.
Pada Oktober lalu, Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.
Kesemua jemaah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.
Saifuddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang selepas ini kerana jemaah Malaysia mempunyai rekod baik dan kerajaan Arab Saudi selalu memuji pengurusan jemaah haji serta umrah dari negara ini.
“Saya berharap peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi sebab kita bimbang ia mencatatkan nama baik Malaysia di kaca mata kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Leave a Reply