PERIKATAN Nasional (PN) menjadi tawaran baru buat pengundi di Maran khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul untuk membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5) ini.
Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, PN adalah sebuah gabungan parti politik yang menolak rasuah dan mengutamakan aspek integriti.
“Pengundi khususnya di DUN Kuala Sentul perlu berani membuat perubahan. Beri peluang kepada PN pada pilihan raya umum kali ini.
“Saya percaya pengundi sudah bijak menilai prestasi wakil rakyat terdahulu khususnya membabitkan aspek kebajikan rakyat sama ada ia terbela atau tidak,” katanya di Maran.
Jasri dalam pada itu berkata, beliau akan terus mendekati seramai mungkin pengundi di DUN Kuala Sentul bagi menjelaskan tentang tawaran baharu ditawarkan PN.
Jelasnya, pengundi baharu akan terus disantuni PN Maran kerana golongan itu menjadi faktor pemangkin kepada kejayaan parti pada PRU-15 ini.
“Pendekatan mendekati pengundi baharu ini berbeza kerana mereka tidak begitu ke arah memilih parti. Mereka lebih senang jika parti mendekati dan mengadakan program memenuhi minat mereka.
“Dari situlah kita mendekati, mendengar suara dan hasrat mereka. Kita kena kerja kuat untuk menawan pengundi baharu ini untuk bersama PN membentuk kerajaan,” katanya.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tawaran manifesto PN Best yang mempunyai 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan diketengahkan bagi meraih sokongan pengundi pada PRU-15 kali ini.
Antaranya, pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengagihan bayaran tunai hasil petroleum secara terus kepada semua kerajaan negeri berkaitan.
Selain itu, PN juga menyatakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia Tenggara, berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan bernilai RM5 bilion.
Leave a Reply