PERIKATAN Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam tawaran PN Best.
Tawaran PN Best bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil ke arah Malaysia Gemilang itu berteraskan 12 tunjang utama.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu, antara 12 tunjang utama tersebut adalah membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, membersihkan politik dan tadbir urus serta mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum.
Katanya, PN juga akan memberi tumpuan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan selain turut memperkasa belia dan menyejahterakan keluarga muda.
“Selain itu, tawaran PN Best turut mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang sejahtera, memperkasa Orang Kelainan Upaya (OKU) dan senerasi Felda serta mentransformasi petani, penternak, nelayan, dan pekebun kecil, ” jelasnya menerusi laman Facebook.
Semalam, PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi turut menjelaskan, tawaran itu bertepatan dengan peranan PN dalam usaha mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan melindungi hak semua kaum.
“Rakyat kini amat memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran yang berterusan, pada masa yang sama membina Malaysia yang inklusif dan gemilang.
“Kita ingin membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredhaan ALLAH SWT,” ujarnya.
Tambah beliau, PN yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan rakyat seluruhnya.
“Insya-ALLAH, dengan sedikit pengalaman sebagai kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini tawaran itu dapat dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.
Abdul Hadi yang juga merupakan calon Parlimen Marang turut menegaskan bahawa kewajipan mengundi perlu diambil serius kerana ia melibatkan masa depan kepimpinan negara.
Katanya, tanggungungjawab mengundi turut berkait dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.
“Saya ingatkan kepada semua rakyat agar turun mengundi kerana akan menentukan masa depan negara selain melibatkan soal dosa dan pahala.
“Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi ALLAH SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam, siiru ‘ala barakatillah,” ujarnya, lapor SatuBerita.
Leave a Reply