Pentadbiran PN jadikan Malaysia lebih mantap – Radzi

PERIKATAN Nasional (PN) bersedia mengemudi Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang mantap sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin, PN menawarkan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

“Ada kerajaan stabil tetapi tidak bersih, tapi PN akan pastikan Malaysia sebuah negara bersih dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos di Putrajaya, hari ini.

Radzi yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya berkata, pengalaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara sewaktu pandemik Covid-19 telah membuktikannya.

“Kita ada rekod yang jelas tanpa sebarang manifesto, kita dapat berkhidmat dengan baik. Kita tidak main-main,” katanya.

Menurutnya, manifesto yang ditawarkan oleh PN merupakan tawaran komprehensif dengan meliputi pelbagai segmen masyarakat.

Pada masa sama, Mohd Radzi berkata, pelan jangka pendek, sederhana dan panjang turut diambil kira.

“Saya kira ia merupakan tawaran realistik dan menyeluruh,” katanya lapor Sinar Harian.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon Bebas.

Mereka ialah Radzi, penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *